MALAYSIA

Lelaki pecah masuk rumah pempengaruh Choii direman empat hari

Dewi Nur Harasha Alias 05/08/2025 | 03:10 MYT
Polis menahan reman seorang lelaki yang disyaki menceroboh rumah pempengaruh media sosial dikenali sebagai Choii selama empat hari bagi membantu siasatan.
BALIK PULAU: Polis menahan reman seorang lelaki yang disyaki menceroboh rumah pempengaruh media sosial dikenali sebagai Choii selama empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 8 Ogos depan itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Balik Pulau selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis.

Suspek berusia 21 tahun yang memakai jersi berwarna hijau tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.12 pagi diiringi anggota polis.

Pada Isnin, suspek ditahan polis selepas berpatah balik ke rumah pempengaruh tersebut untuk mengambil seliparnya sebelum berjaya diberkas penghuni rumah.

Semalam, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan tangkapan suspek selain memaklumkan siasatan mendapati suspek memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar untuk membuang sampah.

Sebaik sahaja menyedari kehadiran penghuni rumah, suspek melarikan diri, namun, dia berpatah balik ke lokasi sama untuk mengambil barang yang tertinggal.

Bagaimanpun, dia berjaya ditahan oleh pengadu dengan bantuan rakan-rakannya sebelum diserahkan kepada anggota polis MPV yang bertugas di Zon 3 Batu Maung.

Sazalee berkata, semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.






#pecah masuk rumah #pempengaruh media sosial #Choii #reman