NATIONAL
Lelaki peluk, cuba tarik wanita dalam semak ketika joging dipenjara tiga bulan
Muhammad Ridzuan (tengah) dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencabul pada Rabu. -Sinar Harian
MELAKA: Padah mencabul pembantu klinik termasuk memeluk mangsa di taman rekreasi, seorang pekerja kilang dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Ringkasan AI
- Muhammad Ridzuan Yusof dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencabul pembantu klinik di taman rekreasi.
- Tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan memeluk, menyentuh kemaluan, dan menekup mulut mangsa dari belakang.
- Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 11 April lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ridzuan Yusof, 28, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah dengan cara memeluk dan menyentuh kemaluan selain menekup mulut dari arah belakang bertujuan mencabul kehormatan sehingga mendatangkan ketakutan dan kegentaran terhadap mangsa yang seorang pembantu klinik pergigian yang berusia 20 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Bandaraya, Bukit Serindit, di sini, pada jam 10 malam, 10 April lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau keduanya daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman merayu hukuman ringan kerana tertuduh berstatus OKU yang hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1,300 selain telah menginsafi kesalahan yang dilakukan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dan setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh begitu serius dan status OKU bukanlah alasan membolehkan dia melakukan kesalahan itu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 11 April lalu.
Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan seorang wanita menjadi mangsa cabul seorang lelaki apabila cuba ditarik masuk ke semak ketika sedang joging di Taman Rekreasi Bukit Serindit di sini pada Khamis.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 11 malam itu berlaku ketika mangsa sedang joging dan dia dipeluk dari belakang, ditekup mulut dan cuba ditarik ke dalam semak. -Sinar Harian