MALAYSIA
Lelaki penggal kepala isteri, kerat anak tiri dipenjara 72 tahun, 24 sebatan

Shahrul Nizam dibawa polis ketika hadir ke mahkamah pada Isnin. -Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh isteri dan anak tirinya enam tahun lalu.
Ringkasan AI
- Shahrul Nizam Zuraimy dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan atas kesalahan membunuh isteri dan anak tirinya pada 2019.
- Mahkamah mendapati perbuatan tertuduh sangat kejam, termasuk memenggal kepala dan membuang anggota badan mangsa di lokasi berbeza.
- Hukuman dijatuhkan berdasarkan keterangan 26 saksi pendakwaan, impak terhadap keluarga mangsa, dan faktor pemberatan oleh pihak pendakwaan.
Hakim mengarahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Oktober 2019.
“Apa yang dilakukan tertuduh adalah kejam dengan meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah, selain mengerat dan membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza.
“Kepala mangsa dibungkus dan disembunyikan di atas bumbung bagi mengelakkan bau atau kesan darah, malah mahkamah juga mengambil kira tindakan tertuduh membuang sebahagian tubuh mangsa di kawasan semak,” katanya.
Jelas beliau, tiada alasan munasabah dikemukakan tertuduh dan perbuatan itu jelas bertujuan menyembunyikan identiti kedua-dua mangsa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan dua pertuduhan, tertuduh didapati melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Norfazera Bidin, 27, dan anak tirinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan MJ 10, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka Tengah antara jam 6 petang 6 Oktober 2019 hingga 7.30 pagi 7 Oktober 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dihukum mati.
Terdahulu, ibu dan kakak Norfazera dalam kenyataan impak mangsa menegaskan mereka mahu tertuduh digantung sampai mati mengambil kira trauma yang dialami selain cara pembunuhan yang disifatkan sangat kejam.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan turut memohon hukuman gantung sampai mati dengan mengambil kira kepentingan awam, jumlah mangsa, tahap kekejaman serta fakta kes.
Bagaimanapun, sekiranya hukuman mati tidak sesuai, pihak pendakwa mencadangkan hukuman penjara bagi setiap kesalahan dikenakan secara berasingan.
Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi merayu agar anak guamnya diberi peluang kedua dengan alasan sudah insaf dan menyesali perbuatannya.
Untuk rekod, perbicaraan kes bermula pada 11 Jun 2020 dengan melibatkan 26 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami