Seorang lelaki yang ditahan kerana memukul dua adik perempuannya menggunakan batang penyapu di kedai makan milik ibu mereka di Jalan Ulu Dedap, Kampung Gajah, Jumaat lalu, direman sehingga Selasa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mereka telah mendapat perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu pada Sabtu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jelas menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

Suspek yang mempunyai dua rekod kes berkaitan dadah ditahan selepas dikatakan memukul kedua-dua adik perempuannya yang berusia 15 dan 19 tahun, kira-kira jam 2.40 petang Jumaat.

Punca kejadian kerana adik suspek, pelajar berusia 15 tahun yang hendak menyapu sampah di ruang rehat kedai dikatakan mengganggu suspek yang sedang tidur mengakibatkannya mengamuk.

Seorang lagi adik suspek berusia 19 tahun, pekerja kilang, yang cuba meleraikan pertengkaran tetapi kedua-dua mereka dipukul dengan sebatang penyapu di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, suspek juga dikatakan cuba memukul ibunya dengan cangkul apabila dimarahi tetapi ibunya sempat mengelak.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Barudin memaklumkan, pihaknya masih memburu lelaki yang disyaki menetak adiknya dengan parang panjang di rumah mereka di Jalan Sekolah Kebangsaan Kota Setia, Teluk Intan, kira-kira jam 7 malam Jumaat.

Suspek berusia 42 tahun yang bekerja dengan sebuah syarikat di Subang, melarikan diri selepas dikatakan menetak mangsa berusia 38 tahun sebanyak lima kali.

Mangsa mengalami kecederaan luka akibat di tetak dengan parang di bahagian jari tangan kiri, lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan.