NATIONAL
Lelaki pukul pelajar kerana selisih faham di jalan raya bebas dengan jaminan polis
Seorang lelaki yang direman kes pukul pelajar sekolah kerana salah faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang pada Jumaat dibebaskan dengan ikat jamin polis. -Gambar fail
KAJANG: Seorang lelaki yang bertindak memukul seorang pemandu yang merupakan pelajar sekolah akibat salah faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, di sini, dibebas dengan jaminan polis.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki yang bertindak memukul seorang pelajar sekolah akibat salah faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, telah dibebaskan dengan jaminan polis.
- Suspek berusia 39 tahun direman sehari sebelum dibebaskan, dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
- Pelajar Tingkatan Lima yang cedera akibat ditumbuk mengalami retak tulang batang hidung dan menerima rawatan di Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 39 tahun sebelum itu telah direman sehari pada Sabtu.
"Selepas remannya tamat, suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
"Polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat, seorang pelajar Tingkatan Lima cedera selepas ditumbuk oleh seorang lelaki tidak dikenali akibat salah faham di persimpangan jalan berhampiran Saujana Impian, Kajang.
Polis menerima laporan dibuat mangsa berusia 17 tahun itu pada jam 9.24 malam sebelum penahanan suspek pada hari yang sama.
Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu menyebabkan mangsa yang mengalami retak tulang batang hidung menerima rawatan di Hospital Kajang.
Siasatan awal mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan pihak polis telah mengeluarkan saman berhubung kesalahan itu. -Sinar Harian