Skip to main content

Malaysia

Lelaki pukul ustaz semasa kuliah Subuh ditahan

[TB]_Lelaki pukul ustaz semasa kuliah Subuh_SINAR
Tangkap layar video tular menunjukkan lelaki terbabit dilihat memukul tenaga pengajar dalam kuliah Subuh di sebuah masjid di Tikam Batu, Sungai Petani pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
Advertisement

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang disyaki memukul seorang tenaga pengajar semasa kuliah Subuh sedang berlansung di sebuah masjid di Tikam Batu di sini pada Sabtu telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Menurutnya, semakan ke atas lelaki warga tempatan itu mendapati dirinya mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

"Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 7.10 pagi dan tangkapan telah kita buat kira-kira jam 1 tengah hari tadi (Sabtu).

"Penahanan dibuat kerana disyaki mempunyai kaitan seperti dalam video yang tular," katanya.

Bagaimanapun katanya, motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, tambahnya.

Terdahulu, satu video berdurasi 55 saat tular menunjukkan seorang lelaki masuk ke dalam masjid dan meluru ke hadapan sebelum memukul bahagian kepala tenaga pengajar ketika jemaah sedang kusyuk mendengar kuliah Subuh di masjid berkenaan.

Kejadian turut disaksikan jemaah lain yang dilihat tergamam, sebelum lelaki terbabit berjalan keluar dari masjid sejurus kejadian. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement