Skip to main content

Malaysia

Lelaki putus kaki akibat mercun, polis kesan penjual tidak sah

putus kaki, mercun, cny, segamat
Mangsa dipercayai bermain bunga api di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina. - Foto PDRM

JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang mengesan penjual mercun dan bunga api yang dipercayai menjual bahan terlarang hingga mengakibatkan seorang lelaki putus kaki kiri ketika bermain mercun di hadapan rumahnya di Segamat, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati bunga api digunakan mangsa adalah dalam kategori tidak diluluskan serta tidak tersenarai dalam 45 jenis bunga api yang dibenarkan untuk pemilikan dan pengimportan.

Advertisement

“Bahan berkenaan dibeli, dimiliki dan dibakar secara tidak sah pada masa kejadian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Lapor Diri Timbalan Ketua Polis Johor serta Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di sini hari ini.

Dalam kejadian di Taman Damai Jaya, Bukit Siput itu, mangsa berusia 32 tahun kudung kaki kiri selepas bunga api jenis shoot cake 4 (D) 16 shot (premium) meletup ketika dinyalakan di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina. 

Ab Rahaman berkata mangsa pada mulanya menerima rawatan di Hospital Segamat sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Melaka untuk rawatan lanjut dengan kes disiasat  di bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk pembatalan lesen akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjual mercun atau bunga api tidak tersenarai dalam kategori diluluskan.

Sementara itu pada majlis hari ini, menyaksikan DSP Hoo Chuan Huat dilantik Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu, manakala ACP Mohd Zairi Badderul@Badrol dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video