Lelaki rentung dalam kebakaran kereta terbabas

Abd Razak Mohd Ali
Mac 23, 2024 21:17 MYT
Dalam nahas di Kilometer 23.5, Jalan Changkat Jong-Bidor dekat Kampung Ayer Hitam, di Teluk Intan, malam tadi, seorang lelaki rentung selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas lalu terbakar. - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN: Seorang lelaki rentung selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas lalu terbakar di Kilometer 23.5, Jalan Changkat Jong-Bidor dekat Kampung Ayer Hitam, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, sebaik menerima laporan pada jam 9.29 malam, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi marak terbakar membabitkan kemusnahan 80 peratus.
"Satu mayat rentung ditemui di dalam sebuah kereta yang musnah dijilat api. Mangsa dijumpai selepas kerja-kerja pemadaman selesai dijalankan.
"Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti ekoran dokumen pengenalan dirinya musnah terbakar," katanya di sini semalam.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman yang disertai sembilan anggota BBP Teluk Intan dan dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batu 12 tamat pada pukul 11.27 malam.
#bomba #Teluk Intan #kereta terbakar #lelaki rentung