Skip to main content

Malaysia

Lelaki rogol kanak-kanak 8 tahun, upah RM3 'tutup mulut’

81565076869_ROGOL.jpg
Hanya dengan menghulurkan RM3 sebagai upah ‘tutup mulut’, perbuatan keji seorang lelaki merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, akhirnya mengundang padah apabila dia dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan. -Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hanya dengan menghulurkan RM3 sebagai upah ‘tutup mulut’, perbuatan keji seorang lelaki merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, akhirnya mengundang padah apabila dia dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hilmee Kusnan, 49, yang merupakan penganggur dikenakan hukuman berkenaan selepas menukar pengakuan kepada bersalah masing-masing satu pertuduhan merogol dan amang seksual, semasa prosiding yang ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama, di hadapan Hakim, Mohd Kafli Che Ali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan merogol manakala jel empat tahun dan satu sebatan bagi kes amang seksual.

Hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap 5 September tahun lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling selama dua tahun di penjara manakala dua tahun tambahan bagi pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Hilmee didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika kejadian berusia lapan tahun, di sebuah unit pangsapuri di Cheras di sini, jam 10.30 pagi pada 4 September 2025.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 376(2)(e) kanun sama yang memperuntukkan pemenjaraan antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan amang seksual dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, selepas mangsa membeli pisang goreng di gerai berhampiran rumah pada hari kejadian, kanak-kanak itu memasuki lif bersama seorang lelaki tidak dikenali.

Tertuduh menarik mangsa ke rumahnya lalu melakukan perbuatan terkutuk itu.

Selepas itu, dia menghantar mangsa ke lif dan menyuruhnya pulang kemudian menghulurkan RM3 sambil memberi amaran agar tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa.

Mangsa kemudian pulang dan bersiap ke sekolah, namun semasa menunggu bas, dia memaklumkan kejadian itu kepada rakannya.

Rakan mangsa memaklumkan perkara itu kepada ibunya sebelum wanita berkenaan menghubungi ibu mangsa.

Ibu mangsa bertindak segera dengan mengambil mangsa di sekolah lalu membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat koyakan pada kemaluan mangsa dan tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Semasa prosiding, peguam, Dr Mohamad Ismail Yunus yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum kerana kes ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau maka saya mohon tertuduh dikecualikan daripada hukuman sebatan kerana dia mempunyai penyakit kencing manis,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira umur mangsa yang masih kecil.

“Kejadian ini meninggalkan trauma kekal terhadap mangsa,” katanya. -Sinar Harian

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement