Lelaki rugi lebih RM2.2 juta terperdaya pelaburan tidak wujud

Polis berkata kejadian berlaku pada 18 Ogos lepas, ketika mangsa berusia 59 tahun yang berada di rumah telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan diperkenalkan kepada pelaburan saham. - Foto hiasan
KUCHING: Seorang lelaki kerugian lebih RM2.2 juta akibat terperdaya dengan penipuan pelaburan saham dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku pada 18 Ogos lepas, ketika mangsa berusia 59 tahun yang berada di rumah telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan diperkenalkan kepada pelaburan saham.
Beliau berkata mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi bagi menyertai pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Mangsa membuat pembayaran ke dalam 11 akaun bank berbeza secara berperingkat, melibatkan 22 transaksi pemindahan dalam talian.
"Mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah RM39,103,045.06 yang dipaparkan dalam akaun aplikasi terbabit. Akibatnya, mangsa mengalami kerugian sebenar sebanyak RM2,268,696.90," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


