Lelaki seksa kucing direman

Adie Sufian Zulkefli
Jun 21, 2022 03:40 MYT
Suspek berusia 27 tahun ketika tiba di Mahkamah Majistret Sungai Petani. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes menendang dan membaling kucing di hadapan sebuah kedai di Semeling, direman selama tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman ke atas suspek berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa di Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
Bagi kesalahan itu, suspek boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Suspek yang tidak berkerja ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok jam 1.29 petang Isnin.
Dalam kejadian Sabtu lalu perbuatan khianat suspek menendang dan membaling batu terhadap seekor kucing berjaya dirakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) di hadapan sebuah kedai di Semeling, dekat sini.
BACA: Polis tahan lelaki seksa kucing
Menerusi rakaman video yang tular itu kelihatan suspek yang memandu Perodua Bezza berwarna putih melakukan kekejaman terhadap haiwan terbabit di hadapan sebuah kedai.
#seksa kucing #suspek #reman #mahkamah