SHAH ALAM: Seorang lelaki yang merupakan suspek utama kes pembunuhan seorang pelajar, maut selepas jatuh daripada sebuah unit tingkat 26 sebuah bangunan di Damansara Perdana, semalam.

Lelaki berumur 24 tahun terbabit sebelum itu dibawa ke bangunan yang didakwa lokasi pembunuhan itu bagi menunjukkan bahan bukti dengan diiringi seorang pegawai dan tiga anggota polis.

"Suspek telah meminta kepada polis untuk dibawa ke balkoni dengan helah ingin menunjukkan bahan bukti baharu walaupun tiada apa-apa di balkoni itu," kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa itu, tangan lelaki terbabit digari di hadapan berikutan terdapat kecederaan dengan lebih 100 jahitan akibat pergelutan dengan pelajar yang didakwa dibunuh di rumah di bangunan itu.

Lelaki terbabit secara tiba-tiba merentap kedua-dua tangannya yang dipegang anggota polis dan berlari sebelum terjun dari balkoni unit itu yang terletak di tingkat 26 bangunan tersebut.

Lelaki terbabit merupakan suspek utama kes pembunuhan rakan sekolejnya berusia 24 tahun pada 6 Mei lepas dan kejadian dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan penjualan dadah dan masalah hutang.

Dia ditahan pada 9 Mei dan perintah tahanan reman diperoleh selama tujuh hari hingga 16 Mei.

Arjunaidi berkata berikutan kematian lelaki terbabit, kes bunuh itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Mahkamah Koroner.

Kematian lelaki terbabit pula kini disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan ekoran kecuaian pegawai dan anggota polis mengawal tahanan.

"Kami harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan siasatan masih dijalankan. Sekiranya ada sebarang kecuaian kami akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA