Lelaki tahan sakit lebih satu jam jari telunjuk tersangkut cincin

Adie Sufian Zulkefli
April 15, 2021 03:08 MYT
Doktor yang simpati melihat mangsa menahan kesakitan dan keadaan jari bertukar kebiruan, terus menghubungi pihak bomba untuk memotong cincin itu. - Foto JBPM
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam selepas jari telunjuk tangan kirinya tersangkut cincin.
Mangsa berusia 29 tahun itu pada mulanya memandu sendiri ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan bantuan menanggalkan cincin, namun pihak hospital gagal membantunya.
Doktor yang simpati melihat mangsa menahan kesakitan dan keadaan jari bertukar kebiruan, terus menghubungi pihak bomba untuk memotong cincin itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.32 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya yang diketuai Ramli Saad tiba di lokasi jam 10.35 malam.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati cincin masih melekat pada jari telunjuk di tangan kiri lelaki berkenaan dan gagal dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.
#Sungai Petani #bomba #mangsa #menahan sakit #jari telunjuk #cincin tersangkut #sangkut #cincin #potong cincin #JBPM #Mohamadul Ehsan Mohd Zain #BBP Aman Jaya #peralatan khas #Hospital Sultan Abdul Halim