KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan dikompaun RM1,500 manakala empat lagi lelaki warga asing ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana berkumpul di sebuah kedai gunting rambut di AU3, Taman Keramat pada Jumaat malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, serbuan dijalankan kira-kira jam 10.00 malam selepas menerima maklumat dari orang awam berhubung kejadian.

"Mereka ini (warga asing) sesuka hati melanggar undang-undang yang ditetapkan sedangkan masyarakat lain terutama penduduk tempatan berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi mengekang penularan COVID-19.

"Justeru, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang dilakukan mereka," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan sebagai tempat kesemua mereka berkumpul setiap malam meskipun dibawah PKPD.

Penduduk jelasnya turut memaklumkan sering melihat beberapa individu keluar masuk daripada premis terbabit selepas jam 10.00 malam sehingga awal pagi.

Pemeriksaan lanjut mendapati empat lelaki warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah meskipun cuba mengelak daripada dikenakan tindakan dengan memberi alasan kawasan terbabit tidak dikenakan PKPD.

"Pada mulanya, mereka warga Acheh ini juga cuba menipu polis dengan menyatakan bahawa kedai mereka dalam kawasan Kuala Lumpur selepas mengetahui pihak polis yang melakukan pemeriksaan adalah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, dibawah pentadbiran Polis Kontinjen Selangor.

"Bagi kami apa yang penting adalah masyarakat terutamanya dalam kawasan daerah Ampang Jaya, terus bersama-sama mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan jumlah kes COVID-19 dapat dikurangkan," katanya.

Jelasnya, lelaki tempatan itu dikenakan kompaun RM1,500 kerana melanggar SOP PKP manakala empat lagi warga asing ditahan.

Orang ramai dinasihatkan agar menyalurkan sebarang maklumat dan aduan kepada pihak berkuasa jika berlaku sebarang pelanggaran SOP PKP yang ditetapkan.