Cubaan seorang lelaki warga tempatan menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila dia ditahan sepasukan anggota penguatkusa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah.

Lelaki berkenaan bagaimanapun sempat mengisi 200 liter bahan api itu ke dalam tangki kenderaannya.

KPDNKK mengesyaki sesuatu yang mencurigakan ketika lelaki berusia 45 tahun itu mengisi petrol ke dalam kenderaannya sekitar 7:30 pagi tadi, dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan mengandungi tiga tangki yang telah diubahsuai sehingga mampu mengisi sejumlah 1,000 liter minyak.

Suspek memberitahu minyak itu akan dibawa ke kawasan stor haram di Bukit Kayu Hitam sebelum dikutip kenderaan asing untuk diseludup masuk ke Thailand.

Berdasarkan rekod, stesen minyak berkenaan pernah diambil tindakan dua kali dalam tempoh lima bulan tahun ini kerana menjual minyak berlebihan bagi diseludup ke Thailand.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM80,000.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Bekalan Kawalan 1961.

Dalam satu perkembangan berasingan di KOTA BHARU, Jabatan Kastam Di Raja Kelantan mendedahkan lebih tiga bilion liter diesel bersubsidi di Kelantan disalur keluar ke negara jiran melalui penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

Menurut pengarahnya, Datuk Azis Yacub, daripada lapan bilion diesel yang diperuntukan untuk dijual di Kelantan, lebih tiga bilion dipercayai diselewengkan melalui penyeludupan.

“Aktiviti penyeludupan diesel di sempadan sepanjang 126 kilometer dari Tumpat ke Jeli ini menyebabkan kerajaan menanggung kerugian melebihi ratusan juta setiap tahun kerana aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang jabatan berkenaan di sini semalam.

Jelasnya jika aktiviti peneludupan tidak dikekang secara habis-habisan, kerajaan bakal menanggung kerugian yang sekaligus akan menyebabkan kerugian kepada rakyat ekoran subsidi diesel yang turut dinikmati rakyat asing.