Lelaki tempatan ditahan guna pasport India di KLIA - JIM

Zakaria berkata hasil penahanan lelaki itu membawa kepada tangkapan seorang wanita warga India di sebuah kediaman di Jalan Kuching yang disyaki tinggal lebih masa di negara ini. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga India dalam operasi khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur 7 Dis lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata lelaki itu ditahan di kaunter pemeriksaan keluar KLIA selepas dikesan menggunakan pasport India milik individu lain bagi tujuan keluar dari Malaysia.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek sebenarnya merupakan warga Malaysia dan dipercayai menggunakan pasport India yang disyaki telah dipalsukan identiti pada muka surat biodata pasport atau menggunakan pasport milik individu lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata hasil penahanan lelaki itu membawa kepada tangkapan seorang wanita warga India di sebuah kediaman di Jalan Kuching yang disyaki tinggal lebih masa di negara ini.
Beliau berkata semasa serbuan, wanita tersebut cuba melarikan diri bersama MyKad milik suspek lelaki, namun berjaya dihalang oleh pasukan operasi.
"Semakan awal mendapati warganegara India yang ditahan telah tinggal lebih masa. Pasukan operasi telah menyita dua naskhah pasport India, sekeping pas naik pesawat dan telefon bimbit bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.
Zakaria berkata lelaki warga tempatan itu disiasat di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, manakala wanita warga India disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Beliau berkata kedua-dua suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi individu warga Malaysia telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Operasi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


