MARANG: Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai berdekatan dengan Jeti Sungai Kerak, di sini ditemukan lemas awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang menerima laporan mengenai kejadian menimpa mangsa yang berusia 18 tahun itu jam 11.25 malam pada Sabtu.

Menurutnya, kejadian itu dilihat oleh dua anggota polis yang ketika itu sedang menjalankan pemeriksaan pencegahan jenayah terhadap beberapa individu di hadapan sebuah rumah berdekatan jeti terbabit.

"Dua anggota polis telah terdengar jeritan meminta tolong dari sungai berdekatan jeti lalu meluru ke arah suara berkenaan dan melihat seorang lelaki terkapai-kapai sebelum tenggelam.

"Pihak polis dan orang kampung yang berada berdekatan cuba turun untuk menyelamatkan mangsa namun gagal kerana keadaan arus sungai yang deras," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Mohd Razman berkata, pihak keselamatan segera menggerakkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di lokasi berkenaan.

Beliau memberitahu, usaha pencarian dilakukan oleh pihak polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu turut disertai orang awam.

"Mangsa berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM jam 4.20 pagi Ahad pada kedalaman 2.5 meter, kira-kira 10 hingga 15 meter dari lokasi dipercayai lemas.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya. - Sinar Harian