Seorang lelaki nekad keluar daripada keretanya melalui tingkap dan memanjat ke atas bumbung selepas kenderaannya tenggelam ketika melalui terowong di Jalan Tun Razak susulan air bertakung di kawasan itu berikutan hujan lebat petang tadi.

Pemuda yang ingin dikenali sebagai Teh, 26, berkata dia yang cemas dengan situasi berkenaan, memanjat ke atas bumbung kereta jenis Honda Civic berwarna putih miliknya sebelum pasukan menyelamat tiba di lokasi kejadian.

"Saya tidak perasan ada takungan air kerana ketika itu ada lori di depan... tiba-tiba air memasuki kereta, saya terus keluar melalui tingkap dan duduk di atas bumbung kereta untuk selamatkan diri. Saya kemudiannya diselamatkan oleh anggota penyelamat yang tiba dilokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kejadian itu mengakibatkan kenderaan yang hampir setahun dimiliki Teh rosak ditenggalami air.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera daripada balai bomba Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.56 petang.

"Sejurus tiba dilokasi kejadian, kita dapati lima kenderaan teperangkap di dalam terowong berkenaan dan tindakan pasukan bomba ialah menyelamatkan kesemua mangsa ke lokasi selamat," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit dan kelima-lima mangsa lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA