Lelaki terselamat, kereta musnah terbakar di lebuh raya

Aida Aziz
Disember 24, 2022 08:03 MYT
Seorang lelaki terselamat selepas kereta jenis Proton Satria yang dipandunya musnah terbakar di kilometer 222.1 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di Manjung, hari ini. - Gambar ihsan JBPM
MANJUNG: Seorang lelaki terselamat selepas kereta jenis Proton Satria yang dipandunya musnah terbakar di kilometer 222.1 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa yang memandu seorang diri sempat keluar dari kenderaan tersebut dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.28 tengah hari, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Satria musnah 70 peratus.
"Anggota bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga kebakaran berjaya dipadam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Shahril Che Halim itu tamat pada pukul 1.08 tengah hari.
#kereta terbakar #terbakar di lebuh raya #lelaki terselamat #Proton Satria