KUALA KANGSAR: Seorang lelaki tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan 12 buah kereta di Kilometer (km) 256.8 arah utara, laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, pada Jumaat.

Dalam kejadiaan itu, pemandu kereta Proton Saga, Kwan Wai Meng, 54, tersepit dalam kenderaannya selepas keretanya dirempuh bas berkenaan dari arah belakang dan seterusnya melanggar beberapa kereta yang lain di hadapannya. 

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 4.33 petang.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan itu telah berjaya dibawa keluar daripada bangkai kenderaan oleh pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar bagi menerima rawatan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pada jam 4.15 petang itu berpunca daripada kecuaian pemandu bas mengawal kenderaan sebelum merempuh kenderaan lain di hadapan.

“Bas ekspres bersama 12 penumpang itu dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke simpang di Taiping. Setibanya di tempat kejadian, keadaan lalu lintas di hadapan tiba-tiba bergerak perlahan.

“Pemandu bas ekspres berkenaan gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh kereta jenis Proton Saga yang berada di hadapan laluannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, rempuhan itu kemudiannya mengakibatkan rantaian pelanggaran kesemua 12 kereta lain.

Katanya, pemandu bas dan 12 mangsa lain yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 26 hingga 67 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas yang berumur 37 tahun itu mendapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

“Manakala kenderaan bas ekspres itu telah ditahan bagi pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sebelum itu PLUS Trafik dalam hantaran Twitter siang tadi memaklumkan kejadian itu telah mengakibatkan penutupan kedua-dua lorong arah utara bagi operasi menyelamat dan mengakibatkan kesesakan trafik sehingga 10 km.

Walau bagaimanapun, semua lorong telah kembali dibuka pada jam 6.52 petang selepas kerja-kerja menyelamat dan pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu selesai.