ALOR SETAR: Seorang lelaki warga China yang hilang ketika mandi di kawasan Pantai Tanjung Rhu, Langkawi semalam ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata mayat Mingfei Lan, 48, yang berasal dari Shanghai, China ditemukan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia pada 9.45 pagi.
Advertisement
“Sebelum kejadian, mangsa yang sedang bercuti bersama isteri dan anak lelakinya telah berenang ke Pulau Cabang seorang diri pada 5.30 petang... anak mangsa kemudian menyedari bahawa ayahnya masih belum timbul pada 6 petang.
“Anaknya telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pihak hotel sebelum anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi memulakan pencarian di sekitar kawasan pantai berkenaan menggunakan bot pada 9 malam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di permukaan air berhampiran Pulau Cabang, kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir lelaki itu dilihat sebelum hilang, selepas operasi pencarian disambung semula pagi ini.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
-- BERNAMA