Lelaki warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Mei 22, 2022 03:08 MYT
Mayat lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditemui tanpa identiti di Sungai Kedah pagi ini. - Foto JBPM Kedah
ALOR SETAR: Orang awam yang sedang berjoging di Persiaran Tanjung Chali terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki terapung di dalam Sungai Kedah, hari ini.
Kejadian itu disahkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain.
Katanya, sebaik menerima laporan daripada orang awam pada jam 8.13 pagi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi, anggota berenang dan menggunakan tali untuk mengikat mayat sebelum menaikkan tubuh mangsa ke darat.
“Mayat mangsa lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditemui tanpa identiti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematian.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#Sungai Kedah #lemas #mayat terapung #warga emas