[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Lelaki warga emas maut dibunuh, lima lelaki ditahan

Bernama 28/04/2025 | 22:00 MYT
Menurut polis, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai kerana perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang berlaku sejak tiga hari lepas dan ia berlarutan hingga hari kejadian. - Gambar hiasan
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warga emas di sebuah pondok di Cheruk Tokun, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 3.22 petang semalam mengenai insiden pergaduhan di pondok itu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 63 tahun.
Beliau berkata semasa kejadian, mangsa dan lima rakannya termasuk suspek utama iaitu lelaki warga emas berusia 70 tahun sedang duduk berbual di pondok berkenaan.
"Namun secara tiba-tiba, suspek dipercayai bangun sebelum datang semula dan terus memukul mangsa dari arah belakang dengan sebatang kayu sehingga lelaki berkenaan rebah.
"Dia (suspek) kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau sebelum terus menikam warga emas berkenaan (mangsa)," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata suspek kemudiannya terus beredar dari lokasi kejadian dan menghilangkan diri manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.
Helmi berkata siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai kerana perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang berlaku sejak tiga hari lepas dan ia berlarutan hingga hari kejadian.
"Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dan memaklumkan kesemua lelaki itu kini ditahan reman.
-- BERNAMA
#warga emas #Cheruk Tokun #kes bunuh #pergaduhan