NATIONAL

Lelaki warga Malaysia ditemukan meninggal dunia dalam bilik hotel di Yala

Bernama 27/05/2025 | 10:44 MYT
Anak lelaki mangsa telah menuntut jenazah di Hospital Betong, dan Konsulat Malaysia di Songkhla sedang membantu proses membawa pulang jenazah ke tanah air. -Gambar hiasan
YALA: Seorang lelaki warganegara Malaysia ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik hotel di Betong, wilayah Yala pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki warga Malaysia berusia 67 tahun dari Negeri Sembilan ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik hotel di Betong, Yala, Thailand pada pagi Isnin.
  • Polis tempatan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan mayat ditemukan dalam keadaan tersungkur di tepi katil oleh petugas hotel.
  • Anak lelaki mangsa telah menuntut jenazah di Hospital Betong, dan Konsulat Malaysia di Songkhla sedang membantu proses membawa pulang jenazah ke tanah air.


Ketua Polis Siasatan Balai Polis Betong, Maj. Kol. Pol. Jakkarin Laksana berkata lelaki berusia 67 tahun itu berasal dari Negeri Sembilan dan dipercayai sedang bercuti di Betong.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tersungkur oleh petugas hotel pada pagi Isnin.

Polis bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada petugas hotel sekitar 8.30 pagi Isnin, katanya.

"Sebaik tiba, kami menemukan mangsa dalam keadaan tersungkur di tepi katil.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Jakkarin berkata anak lelaki mangsa tiba di Hospital Betong pagi tadi bagi tujuan pengecaman dan menuntut jenazah untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang membantu ahli keluarga bagi memudahkan proses membawa pulang jenazah ke tanah air.

-- BERNAMA



#lelaki warga malaysia #meninggal dunia di bilik hotel #Betong Yala #serangan jantung