Lelaki warga Pakistan ditangkap edar rokok seludup

Radhi Muslim
Januari 9, 2020 03:41 MYT
Warga Pakistan itu dipercayai datang dari Keningau dan menjadi pembekal rokok seludup ke kawasan ladang sekitar Paitan. Foto PDRM
Seorang lelaki Pakistan disyaki menjadi pembekal rokok seludup ke kawasan ladang-ladang di Paitan berjaya diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, suspek lelaki berusia 37 tahun itu diberkas bersama 1,570 bungkus pelbagai jenis rokok seludup.
Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Beluran, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima makluman berhubung kegiatan suspek terbabit lalu operasi diatur bagi mengesannya.
Suspek kemudiannya dikesan sedang memandu pacuan empat roda Toyota Vigo di Jalan Paitan, lalu ditahan.
"Sebaik diperiksa, terdapat rokok seludup pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM28,711 ditemui dalam kenderaan suspek.
"Siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai datang dari Keningau dan menjadi pembekal rokok seludup ke kawasan ladang sekitar Paitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudiannya diberkas lalu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.
"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM108,711.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967," katanya.
#Beluran #kastam #Keningau #ladang #Mohd Nasaruddin M Nasir #Paitan #Pakistan #pembekal rokok #PGA Batalion 20 #polis #rokok #seludup #siasatan #suspek