Lemas Bukit Beruntung: Jenazah dua murid lemas selamat dikebumikan

Bernama
Mac 19, 2017 11:35 MYT
Dua mangsa terakhir yang lemas Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, dan Mohd Ikwan Mohd Ridwan, 10, di Kampung Timah SKC Bukit Beruntung selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung hari ini. - Foto Bernama
Jenazah dua murid Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 yang lemas di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, di sini hari ini.
Jenazah Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10 dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, dikebumikan kira-kira 6 petang ini.
Terdahulu, solat jenazah Muhammad Aiman diadakan di Surau Raudatul Jannah manakala Muhammad Ikhwan disembahyangkan di Surau Abu Bakar Ali Bashah, Bukit Beruntung, di sini.
Jenazah Muhammad Ikhwan ditemukan di tebing Sungai Selangor kira-kira tiga kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat manakala Muhammad Aiman ditemui 13 kilometer dari lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang pada Jumaat lepas, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan dan 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai itu.
Seorang daripada mereka selamat manakala tujuh lagi ditemukan lemas.
Selain Muhammad Aiman dan Muhammad Ikhwan, lima mangsa lain ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12 dan Shahrizwan Abdullah, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9; Muhammad Iskandar Shah Abdullah, 12 dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12. -- Bernama
#bomba #Bukit Beruntung #Kanak-kanak #mati lemas #muhammad Aiman Kamarul Ariffin #Muhammad Ikhwan #pelajar #Sungai SKC