Lemas di air terjun Cunca Wulang: Jenazah Ezzaq Azraf, Azfar selamat dikebumikan

Astro Awani
April 19, 2016 07:47 MYT
Jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat lemas di Air Terjun Cunca Wulang, Indonesia selamat dikebumikan malam tadi. -Foto Astro AWANI
Jenazah Mohammad Ezzaq Azraf Azumi, 23, rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat lemas di Air Terjun Cunca Wulang, Wilayah Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, Sabtu lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata, Sri Gombak , jam 10.30 malam tadi
Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di Masjid Al-Khairiah Taman Sri Gombak Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2).
Turut tiba bersama-sama jenazah Mohammad Ezzaq semalam adalah jenazah rakan karibnya, Mohamad Azfar Tahir, 23.
Mohamad Azfar dibawa ke rumahnya di Kampung Padang Balang, dan dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah Mohammad Ezzaq.
Jenazah Ezzaq selamat dikebumi
Ibunya, Nik Rozaini Nik Mohd Nawi, 46, ketika ditemui berkata mulanya dia agak keberatan untuk membenarkan anak kedua dari empat beradik itu pergi bercuti ke sana.
Namun, akhirnya akur kerana arwah memberitahu sudah setahun merancang percutian itu.
Nik Rozaini berkata, arwah yang bekerja di sebuah butik pakaian di KLCC seorang yang manja dengannya.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi Sabtu lalu, Mohamad Azfar hilang sebaik terjun ke dalam kolam air terjun itu.
Mohammad Ezzaq bersama pemandu pelancong dikatakan cuba membantu menyelamatkan mangsa, namun mereka turut lemas.
Mangsa bersama tiga lagi rakan Mohammad Imran Had Helmy Had, Muhammad Nurhafiz Nor Adzmi dan Mohamad Qayyum Pirdous bercuti ke Lombok pada 11 April lalu.
Kelima-lima mereka adalah rakan baik sejak di sekolah rendah lagi dan sering bercuti bersama.
#Air Terjun Cunca Wulang #dua rakyat Malaysia mati lemas #Flores #Mohamad Azfar Tahir #Mohammad Ezzaq Azumi