MALAYSIA
Lembaga pengarah, pengurusan SRC bertanggungjawab urus niaga - Peguam

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pendengaran saman SRC International. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa segala urus niaga dalam SRC International Sdn Bhd adalah di bawah tanggungjawab lembaga pengarah serta pengurusan syarikat pelaburan strategik berkenaan.
Ringkasan AI
- Peguam Najib berhujah bahawa segala urus niaga SRC adalah tanggungjawab lembaga pengarah, dan Najib tidak mempunyai kawalan eksklusif atau tanggungjawab fidusiari terhadap operasi syarikat itu.
- SRC International menuntut ganti rugi USD1.18 bilion, mendakwa Najib melakukan pecah amanah, salah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana KWAP yang dipinjam oleh syarikat.
- Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, selepas sabitan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC; denda turut dikurangkan kepada RM50 juta selepas keputusan Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.
Muhammad Farhan berkata meskipun andaian diberikan bahawa Najib mengeluarkan arahan tertentu, beliau (Najib) tetap menyerahkan tanggungjawab penuh kepada lembaga pengarah untuk menguruskan dana dengan sewajarnya.
Beliau berhujah demikian semasa prosiding perbicaraan saman sivil SRC International berjumlah USD1.18 bilion terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang kini masih belum dikesan.
Beliau turut menegaskan bahawa Najib tidak mempunyai kawalan ke atas keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah SRC dan tidak mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap syarikat berkenaan dalam kapasiti sama seperti seorang pengarah.
Katanya sebarang peranan rasmi atau hak kelulusan sebagai pemegang saham yang dimiliki Najib adalah sebahagian daripada struktur tadbir urus yang sah dan tidak menjadikannya 'pemikir utama' yang melanggar tanggungjawab terhadap syarikat.
"Dalam erti kata lain, tanggungjawab, amanah serta liabiliti akhirnya terletak kepada lembaga pengarah," katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Prosiding akan disambung pada 25 Ogos ini.
Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu, mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat, selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau, dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan susulan keputusan Lembaga Pengampunan, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM120 juta kepada RM50 juta pada 29 Jan 2024.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami