MALAYSIA

Lenggong catat lonjakan pelancong lebih 200 peratus dalam tempoh dua tahun - Saarani

Bernama 12/07/2025 | 21:30 MYT
Saarani berkata, jumlah pelancong ke Lenggong meningkat daripada 24,770 orang pada 2022 kepada 114,182 orang tahun lepas. - Gambar Bernama
LENGGONG: Lembah Lenggong terus mencatatkan pertumbuhan pesat sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan apabila jumlah kehadiran pelancong melonjak lebih 280 peratus dalam tempoh dua tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah pelancong meningkat daripada 24,770 orang pada 2022 kepada 114,182 orang tahun lepas susulan pelbagai usaha berterusan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

"Pendapatan pemandu pelancong meningkat 237 peratus manakala pengusaha penginapan turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 145 peratus dalam tempoh sama.

"Perkembangan itu memberi impak langsung terhadap kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat, khususnya komuniti luar bandar termasuk kampung tradisi dan Orang Asli yang kini aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti pelancongan, kraf tangan, makanan tradisional dan program rumah inap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp), di sini, pada Sabtu.

Saarani berkata, kajian saintifik yang dijalankan telah mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi untuk dibangunkan melibatkan 39 geotapak, 11 tapak geoarkeologi, lapan biotapak serta 21 tapak budaya dan warisan.

"Lima daripadanya telah diiktiraf memiliki nilai geologi bertaraf antarabangsa merangkumi elemen warisan geologi, biodiversiti, budaya dan arkeologi yang unik serta saling berkait antara satu sama lain.

"Kepelbagaian sumber tersebut menjadikan Lembah Lenggong bukan sahaja tapak penting bagi aktiviti penyelidikan malah destinasi pelancongan berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga giat memperkukuh kedudukan Lenggong di pentas antarabangsa menerusi jalinan kerjasama dengan pelbagai jaringan geopark luar negara serta penglibatan dalam persidangan antarabangsa, termasuk bersama Jepun, Korea Selatan dan Turki.

"Lenggong bukan sekadar destinasi pelancongan, sebaliknya kini menjadi pusat pembangunan insan berasaskan warisan," katanya.

Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 merangkumi keluasan 22 kilometer (km) persegi atau kira-kira satu peratus daripada keseluruhan kawasan Aspiring Lenggong UNESCO UGGp seluas 2,248 km persegi.

Kawasan UGGp itu merangkumi lima mukim iaitu Durian Pipit, Temelong, Lenggong, Kenering dan Gerik, dengan jumlah penduduk kira-kira 61,039 orang.

--BERNAMA





#Lembah Lenggong #Destinasi pelancongan #pelancong #Saarani Mohamad #Unesco #tapak warisan