Lepas gian untuk berlumba di bulan Ramadan, 10 'mat rempit' ditahan polis

Astro Awani
April 19, 2021 04:28 MYT
Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 20 tahun itu dikesan di sekitar Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kampung Geliga. - Gambar hiasan
KEMAMAN: Gara-gara ingin melepaskan 'gian' di jalan raya ketika jemaah melakukan solat Tarawih, seramai 10 ‘mat rempit’ menerima padah selepas diberkas dalam Ops Samseng Jalanan di sini, malam tadi.
Mereka juga terpaksa menolak motosikal kira-kira lima kilometer ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman sebelum kenderaan itu disita.
Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 20 tahun itu dikesan di sekitar Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kampung Geliga.
Ketika ditahan oleh polis, kesemua ‘mat rempit’itu sedang leka berlumba.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, operasi tersebut dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kemaman bersama kekuatan 35 orang anggota beserta dua pegawai ekoran selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti tidak bermoral itu.
Menurut Hanyan, aktiviti yang dilakukan ketika solat Tarawih juga mengganggu jemaah sedang menunaikan ibadah itu.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan intipan di sepanjang laluan tersebut dan mendapati kumpulan ‘mat rempit’ terbabit jelas melanggar peraturan jalan raya selain aktiviti itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
Operasi selama lima jam dan berakhir pada pukul 1 pagi itu telah mengeluarkan sebanyak 52 saman di atas pelbagai kesalahan dan pihaknya turut menyita sembilan buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk aktiviti lumba haram.
Pihak polis juga, kata Hanyan, akan sentiasa melakukan pemantauan di kawasan yang sering menjadi tumpuan ‘mat rempit’ dan beberapa kawasan lain bagi memastikan aktiviti tidak bermoral itu dapat dibendung.
#mat rempit #lepas gian #Ops Samseng Jalanan #solat tarawih #motosikal #leka berlumba