NATIONAL
Lesen Kebangsaan: MFL pertahan tindakan beri lanjutan masa

MFL mempertahankan keputusan memberikan lanjutan masa kepada pasukan untuk menghantar dokumen permohonan Lesen Kebangsaan.
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertahankan keputusan memberikan lanjutan masa kepada pasukan untuk menghantar dokumen permohonan Lesen Kebangsaan yang sepatutnya berakhir pada 30 April lalu.
Ringkasan AI
- MFL mempertahankan keputusan melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan sehingga 10 Mei, dengan FIB menggunakan kuasanya mengikut peraturan pelesenan untuk mempertimbangkan permohonan daripada beberapa kelab.
- Penang FC menyuarakan kebimbangan bahawa kelonggaran ini boleh memberi implikasi negatif, berisiko menyebabkan kelab yang bermasalah menangguhkan penstrukturan kewangan yang sepatutnya diambil segera.
- MFL menggesa semua kelab untuk memanfaatkan lanjutan masa ini bagi menyelesaikan dokumentasi, dan berharap semua dokumen dapat dimuat naik sebelum atau pada tarikh akhir baharu.
“Jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses memuat naik dokumen sebelum atau pada 30 April 2025 dalam sistem pelesenan AFC CLAS, dan mematuhi tarikh akhir asal yang telah ditetapkan.
“Namun begitu, atas permohonan bertulis daripada beberapa kelab, pihak FIB telah mempertimbangkan permohonan lanjutan tarikh akhir tersebut. Keputusan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8(a), serta mengambil kira keadaan khusus setiap permohonan dan kes yang dikemukakan,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Penang FC menyuarakan kebimbangan susulan keputusan FIB itu yang menurut mereka boleh menimbulkan implikasi negatif sekiranya dijadikan kelaziman.
Menurut kenyataan kelab tersebut, kelonggaran yang diberikan berisiko menyebabkan kelab yang menghadapi masalah kewangan menangguhkan langkah penstrukturan atau penyelesaian masalah yang sepatutnya diambil segera.
Dalam pada itu, MFL menggesa agar semua kelab terlibat dapat memanfaatkan tempoh lanjutan ini untuk menyelesaikan urusan dokumentasi yang berkaitan.
“MFL berharap agar kelab-kelab terlibat dapat memuat naik dokumen selewat-lewatnya pada tarikh akhir baharu, iaitu sebelum atau pada 10 Mei ini,” tambah kenyataan tersebut. -- Sinar Harian

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami