MALAYSIA
Lesen pemandu kenderaan perdagangan digantung jika terlibat kemalangan - JPJ

Aedy Fadly berkata, jika seseorang pemegang Lesen PSV dan GDL didapati bersalah selepas siasatan oleh PDRM, lesen mereka kemudiannya akan dibatal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan menggantung lesen pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat kemalangan sehingga siasatan selesai.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata jika seseorang pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan kenderaan barangan (GDL) didapati bersalah selepas siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), lesen mereka kemudiannya akan dibatalkan.
"Bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan adalah kompeten, pihak JPJ akan menetapkan mana-mana individu telah digantung, sebelum lesennya boleh diaktifkan semula atau dikeluarkan daripada senarai digantung, mereka wajib menjalani dan lulus Program Latihan Semula.
"Program ini akan dianjurkan oleh pihak JPJ di lokasi-lokasi yang akan ditetapkan kelak dan pemandu turut dikenakan fi bagi menampung kos program latihan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Kuala Lumpur yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.
Terdahulu, Aedy Fadly menyampaikan 915 lesen motosikal B2 secara percuma kepada individu yang menjalani latihan dan ujian di institut-institut memandu yang bekerjasama dengan JPJ dan 762 penerima lesen berkenaan terdiri daripada pelajar dan kumpulan paling ramai ialah pelajar sekolah menengah.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata pihaknya sudah memulakan tindakan penggantungan terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat kemalangan dengan lima pemandu digantung setakat ini.
Beliau berkata jika siasatan PDRM mendapati pemandu berkenaan tidak bersalah, tindakan pembatalan terhadap penggantungan itu akan dilaksanakan oleh pihak JPJ.
"Penggantungan telah mula dilakukan termasuk dalam kes kemalangan membabitkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) PDRM di Teluk Intan, Perak baru-baru ini dan kemalangan bas yang melanggar had penghadang ketinggian di Nilai, Negeri Sembilan semalam.
"JPJ berharap dengan pengenalan tindakan-tindakan ini, semua pemandu kenderaan perdagangan termasuk pemandu bas dan kenderaan barangan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhemah serta mementingkan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadli berkata sehingga kini, JPJ mengeluarkan 510 notis kompaun terhadap bas ekspres, bas persiaran dan kenderaan barangan sejak penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar secara berperingkat ke atas kenderaan berkenaan bermula 1 Julai lepas.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 80 notis kompaun dikeluarkan terhadap pemandu manakala 396 ke atas penumpang dan kelindan dan beberapa notis bagi kesalahan lain antaranya tidak memakai tali pinggang keledar belakang dan tidak menyediakan tali pinggang.
Aedy Fadli turut mengingatkan pemandu-pemandu bas ekspres bahawa mereka akan dikenakan kompaun sekiranya penumpang didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan menjadi tanggungjawab mereka mengingatkan penumpang sebelum kenderaan bergerak.
Sementara itu, beliau juga berkata JPJ dan Kementerian Pengangkutan kini sedang meneliti bagi mewujudkan institut memandu dengan konsep baharu bagi menangani tempoh menunggu terlalu lama bagi mendapatkan lesen di kawasan yang berkepadatan tinggi.
"Untuk itu, kita tubuhkan institut memandu berkonsep baharu, kita akan cuba dapatkan idea daripada negara maju untuk dilaksanakan di negara kita. Kita akan buka cadangan ini kepada syarikat yang berminat untuk melaksanakan konsep baharu ini," katanya.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami