[TERKINI] Kebakaran Kecil di Wad Zon Merah HTAR Klang – Tiada Kecederaan, Pesakit Dipindahkan; Laporan Lanjut Di Sini
MALAYSIA

Lesen pengilangan cecair rokok elektronik di bawah bidang kuasa MITI - KKM

Bernama 02/06/2025 | 09:10 MYT
Akta 852 mentakrifkan cecair rokok elektronik sebagai bahan merokok yang dibenarkan untuk didagangkan tetapi dikawal ketat, termasuk dari segi kandungan, emisi, dan pengedaran, dengan pemantauan oleh KKM. -Gambar fail/Freepik
PUTRAJAYA: Pengeluaran lesen pengilang kepada sebuah syarikat bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik mengandungi cecair atau gel campuran nikotin secara interim adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).


Ringkasan AI
  • Pengeluaran lesen pengilang peranti rokok elektronik mengandungi nikotin secara interim adalah di bawah bidang kuasa MITI melalui MIDA, manakala kawalan terhadap produk tersebut tertakluk kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
  • Akta 852 mentakrifkan cecair rokok elektronik sebagai bahan merokok yang dibenarkan untuk didagangkan tetapi dikawal ketat, termasuk dari segi kandungan, emisi, dan pengedaran, dengan pemantauan oleh KKM serta kerjasama pelbagai agensi seperti JKDM, SIRIM, dan KPDN.
  • KKM menegaskan komitmen terhadap penguatkuasaan maksimum bagi melindungi kesihatan awam dan menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan isu ini.


Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan pengeluaran lesen itu adalah melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berdasarkan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (Aktiviti Perlesenan).

"Bagaimanapun, aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik di pasaran tempatan dikawal di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852]," menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

KKM menjelaskan di bawah Seksyen 2, Akta 852, cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai bahan merokok, iaitu apa-apa bahan atau gabungan bahan digunakan untuk merokok termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.

Menurut KKM, bahan merokok itu merupakan produk merokok yang dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan, namun dikawal ketat di bawah Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya.

KKM memaklumkan kawalan produk merokok juga melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi kawalan pengimportan melalui Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.

Selain itu, pengujian piawaian keselamatan peranti dilakukan SIRIM dan dikuatkuasakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sebarang keputusan berkaitan aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik merupakan keputusan kolektif oleh semua agensi kerajaan terlibat.

Menurut kenyataan itu, Akta 852 juga memperuntukkan kuasa kepada KKM untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan dan emisi semua jenis produk merokok.

KKM komited untuk memastikan penguatkuasaan dan kawalan pada tahap maksimum bagi memastikan perlindungan kesihatan dan keselamatan masyarakat.

-- BERNAMA



#lesen pengilang peranti #MITI #KKM #rokok elektronik #nikotin