Kabinet mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji serta melakukan penambahbaikan terhadap polisi pemberi wang pinjaman.

Arahan diberikan selepas menterinya, Tan Sri Noh Omar menjelaskan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri berhubung cadangannya memberi lesen pinjawan wang kepada pemaju perumahan, pada Rabu.

"Kajian itu membabitkan keberkesanan polisi dalam membantu rakyat untuk membiayai pembelian rumah.

"Dalam masa sama, kementerian juga akan mengambil tindakan proaktif dan melihat secara keseluruhan keberkesanan fasiliti pembiayaan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, supaya tidak disalahgunakan oleh pemegang lesen yang tidak bertanggungjawab, katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKT juga diarah untuk mengeluarkan garis panduan yang jelas dan mudah difahami kedua-kedua syarikat pemegang lesen pemberi pinjaman wang dan juga peminjam.

Tan Sri Noh sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman kewangan untuk membantu pembeli rumah yang berhadapan kesukaran pinjaman bank.

Cadangan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak serta mengundang spekulasi tentang perincian skim yang dicadangkan itu.