TAIPING: Keunikan dan keistimewaan Jalan Berek yang terletak di tengah-tengah bandar warisan di sini, berpotensi besar menjadi lokasi baharu bagi menggamit lebih ramai pengunjung ke Taiping.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, usaha 10 premis perniagaan yang melakukan pemuliharaan dan konservasi bangunan, menyerlahkan lagi keindahan dan reka bentuk warisan bangunan silam.

Tidak dilupakan tempat persinggahan wajib bagi mereka yang berkunjung ke lokasi berkenaan, iaitu tiga 'outlet' The Best Cendol In Town.

Menurut Khairul Amir, pihaknya kini giat menjalankan program melestari Jalan Berek, yang merupakan sebahagian usaha mendorong warga bandar ini khususnya peniaga menjaga kebersihan serta keceriaan jalan.

"Elemen yang dinyatakan tadi, iaitu kebersihan dan keceriaan merupakan dua dari lima elemen kriteria lestari di Jalan Berek. Tiga lagi ialah teratur, hijau dan selamat.

"Saya difahamkan sekitar tahun 2019, MPT telah memulakan langkah pertama dengan melaksanakan program penyusunan semula petak-petak parkir.

"Termasuk menanam kira-kira 30 batang pokok teduhan di sepanjang Jalan Berek.

"Selain itu, MPT turut mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis untuk menjalankan rondaan keselamatan dari masa ke semasa di laluan tersebut serta di laluan sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Karnival Kesenian dan Kebudayaan@Jalan Berek, di sini pada Sabtu.

Khairul Amir meninjau gerai pameran dan jualan sempena Karnival Kesenian dan Kebudayaan di Jalan Berek. - Foto MPT

Dalam pada itu beliau berkata, terdapat kira-kira 10 buah kafe dan perniagaan berkonsep hipster yang menjadi pilihan anak-anak muda serta mengikut trend semasa.

"Paling utama, di jalan ini terdapat tiga ‘outlet’ The Best Cendol In Town, yang pada suatu ketika dahulu mereka bersatu di bawah satu jenama iaitu Cendol Bismillah.

"Kesemua ciri yang dinyatakan ini mampu menjadi daya penggerak dan daya penarik kepada pembangunan awal Projek Melestari Jalan Berek," katanya.

Setelah dua tahun inisiatif itu terhenti susulan penularan COVID-19, kini menurutnya sudah tiba masa untuk meneruskan gerak kerja yang tertangguh.

"Pada akhir tahun 2021, promosi jalan ini diteruskan dengan Program Jom Plog Bersama YDP @ Jalan Berek bersama kakitangan MPT, kakitangan agensi kerajaan daerah Larut Matang, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kini, usaha mempromosi Jalan Berek diperluas dengan penganjuran program sebegini, diharapkan ia berjalan lancar dan mencapai hasrat dan sasaran yang kita idamkan," ujarnya.

Beliau juga berharap supaya penghuni Jalan Berek akan terus berganding bahu bersama MPT dalam membantu mempromosi jalan ini sebagai salah satu produk pelancongan di Taiping.

Katanya, Sambutan Ulang Tahun Hari Perbandaran yang ke-43 baru-baru ini diteruskan dengan penganjuran karnival berkenaan.

Antara pengisian karnival ini adalah pertandingan mewarna, pertandingan busana tradisional, persembahan busking, persembahan tarian pelbagai kaum dan jualan industri kecil dan sederhana (IKS).