Menerusi Facebook dan Twitter, Astro AWANI meminta orang ramai untuk kongsi pengalaman mereka berpuasa di luar negara. Respon yang kami terima amat luar biasa dan setiap pengalaman cukup menarik.
Dari cuaca yang terlalu sejuk atau panas, sehinggalah merindui masakan Malaysia, setiap negara mempunyai cabaranya tersendiri.
Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Anna Sue kongsi pengalaman beliau berpuasa di Lebanon.
“Saya sedang berpuasa di Lebanon. Waktu imsak adalah 3.06 pagi dan waktu berbuka puasa 7.50 malam di kampung suami saya di Bakhoun, Lebanon. Setiap pagi dalam pukul dua akan kedengaran bunyi gendang dipalukan ke seluruh kampung untuk membangkitkan orang kampung supaya bersahur,” kongsi Anna.
Beliau turut berkongsi bahawa bekalan elektrik terhad kepada lapan hingga sembilan jam sehari jadi mereka menggunakan generator.
Tambahnya, “Dua hari lepas, salah sebuah kedai kopi di Tehbeni (utara bandar Tripoli) telah dikejutkan dengan letupan bom, dimana telah mengorbankan seorang lelaki dan dua cedera. Selain dari itu kehidupan diteruskan disini seperti biasa walaupun kami perlu lebih berhati-hati ketika di bandar.”
Ahli keluarga Intan Roshada berbuka di Saint Petersburg, Rusia. -Sumber: Facebook/Intan Roshada
Intan Roshada pernah berpuasa di Saint Petersburg, Rusia. Walaupun sekadar melawat anak saudara namun pengalaman berpuasa lebih dari 20 jam tidak dapat dilupakan.
“Saya pergi sekejap sahaja melawat anak saudara ketika majlis konvokesyen di sana. Merasalah puasa selama 20 jam. Kami bawa bekalan seperti serunding, rendang beku dan cuma beli sayur di pasaraya. Ayam halal kami beli di masjid. Yang dirindui semestinya pasar Ramadan,” kongsi Intan.
Para pelajar di Mesir sibuk menduduki peperiksaan. -Sumber: Facebook/Naqiyan Anis
Para pelajar Malaysia di luar negara turut merindui kampung halaman masing-masing.
“Doakan kami pelajar tahun lima yang sedang berjuang untuk peperiksaan akhir. Tidak sabar hendak balik dan berpuasa dengan keluarga tersayang.
“Rindu apam balik tetapi dekat sini ada qatayef jadi terubut jugaklah rindu dengan apam balik,” kongsi Naqiyan Anis.
Walaupun masakan Malaysia susah didapati di luar negara, namun bagi Muhammad Ariffin Kussasi, apa sahaja boleh dilakukan untuk membuat sambal belacan.
“Saya pernah buka puasa di Bosnia ketika musim salji. Waktu berpuasa masa itu ialah 4.20 petang.
“Tumbuk sambal belacan pun guna tin susu. Seronok!” kongsi Muhammad Ariffin.
Pengikut-pengikut Astro AWANI di Twitter turut kongsi pengalaman mereka berpuasa di luar negara.
Anda pernah berpuasa di luar negara? Kongsi pengalaman menarik anda bersama kami di Facebook dan Twitter.