Skip to main content

Malaysia

Letupan bom Selatan Thailand, tiada rakyat Malaysia jadi mangsa - Ketua Polis Kelantan

KOTA BHARU, 23 Ogos -- Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat bercakap pada sidang media mengenai pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan hari ini.  Polis Kelantan akan melupuskan 6,536 barang kes berkaitan narkotik bernilai RM1.104 juta yang telah selesai melalui proses perbicaraan dan keputusan mahkamah bagi tempoh 2008 hingga 2024 membabitkan pelbagai jenis bahan kes dengan jumlah berat keseluruhan 39.41 kilogram serta 2,534 liter bahan berbentuk cecair.  --fotoBERNAMA (
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat bercakap pada sidang media mengenai pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam siri pengeboman dan insiden keganasan yang berlaku serentak di tiga wilayah Selatan Thailand malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat yang mengesahkan perkara itu berkata susulan kejadian berkenaan, rakyat Malaysia diminta berhati-hati dan menangguhkan perjalanan ke kawasan terbabit, terutama jika tiada urusan penting.

“Nasihat ini bukan perkara baharu dan telah beberapa kali disampaikan kepada rakyat Malaysia yang merancang melakukan perjalanan ke Selatan Thailand,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata nasihat sama turut diberikan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati Malaysia yang berada di Kelantan dan merancang memasuki Thailand hari ini, termasuk ke Hat Yai.

“Saya nasihatkan mereka untuk tidak masuk ke Hat Yai kerana berlaku 51 insiden malam tadi, di tiga wilayah Selatan Thailand," katanya.

Mohd Yusoff berkata rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke negara jiran perlu mengambil kira perkembangan keselamatan semasa dan sentiasa berhati-hati sepanjang berada di sana.

Beliau berkata pendirian berkenaan selaras dengan nasihat Kementerian Luar Negeri yang tidak menghalang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Thailand, namun meminta mereka supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Isu di Selatan Thailand ini hari-hari ada. Cuma semalam itu teruklah. Kita tidak mahu rakyat kita terkesan daripada punca-punca macam pengeboman ini,” katanya.

Hari ini, Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) Thailand dalam kenyataan memaklumkan pihak berkuasa negara itu, akan terus memantau keadaan dengan mengarahkan semua unit menyegerakan siasatan dan langkah keselamatan demi melindungi orang ramai serta memulihkan keadaan secepat mungkin.

Terdahulu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam tadi hingga 5 pagi tadi, selepas lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar, dilaporkan berlaku di tiga wilayah tersebut.

Letupan kuat dari arah Narathiwat, Selatan Thailand, malam tadi turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang di Pasir Mas.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihaknya turut menerima maklumat pihak berkuasa Thailand sedang meningkatkan operasi penguatkuasaan trafik, termasuk terhadap kenderaan dari Malaysia yang tidak mematuhi peraturan negara berkenaan.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang memandu di Thailand supaya mematuhi peraturan lalu lintas, bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa negara itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement