MALAYSIA

Letupan di Nilai: Polis temukan objek disyaki IED bersama suspek ketika ditahan

Bernama 27/12/2025 | 15:06 MYT
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menunjukkan kenderaan yang terbabit kejadian letupan di kawasan Desa Palma baru-baru ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Polis menemukan beberapa objek disyaki bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) bersama lelaki yang ditahan di jalan sekitar Batang Benar, Nilai petang tadi susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, di sini 22 Dis lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menemui objek disyaki bahan letupan bersama seorang lelaki yang ditahan di Batang Benar, Nilai susulan letupan di Desa Palma, 22 Disember lalu. Suspek itu turut disyaki terlibat dalam pembuatan bahan letupan.
  • Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mengesahkan penahanan suspek berusia 62 tahun selepas maklumat dari orang awam. Polis merampas motosikal suspek dan menemui kesan kecederaan di badan suspek ketika ditahan.
  • Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan memberi kerjasama dalam usaha mengesan suspek. Suspek, yang dikenali sebagai 'Ayang', mempunyai pengetahuan teknikal dalam pembuatan bahan letupan. Polis turut menemui 31 lagi IED di rumah suspek dan memusnahkan kesemua bahan letupan tersebut.


Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata dalam tangkapan 4.15 petang tadi, polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek berusia 62 tahun itu.

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas tubuh badannya mendapati terdapat kesan kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki.

"Ketika ditahan, dia berada dalam lemah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk diberikan rawatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menyalurkan maklumat kepada polis selain menzahirkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dalam usaha mengesan suspek.

Alzafny petang tadi mengesahkan penahanan individu berkenaan di jalan sekitar kawasan Batang Benar, Nilai hasil maklumat orang awam.

Semalam, Alzafny berkata suspek dikenali sebagai 'Ayang' yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.

Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumahnya dan telah memusnahkan semua bahan letupan berkenaan.

Pada Isnin lepas, beliau dilaporkan berkata pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada 7.08 pagi.

-- BERNAMA


#Improvised Explosive Device IED #letupan di Nilai #Desa Palma #Polis Negeri Sembilan