MALAYSIA

Letupan di universiti swasta: Polis klasifikasi kematian pekerja kontraktor sebagai mati mengejut

Naz Raseed 13/01/2026 | 05:38 MYT
Fadil berkata Jabatan Forensik akan kembali ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut serta mengumpul barang bukti berkaitan insiden tersebut. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kematian seorang pekerja kontraktor dalam insiden letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara sebagai mati mengejut (SDR).


Ringkasan AI
  • Polis mengklasifikasikan kematian pekerja kontraktor dalam insiden letupan di HELP University, Bukit Damansara sebagai mati mengejut (SDR).
  • Siasatan lanjut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pasukan forensik.
  • Kementerian Pendidikan Tinggi menekankan keselamatan pelajar dan warga kampus sebagai keutamaan, memerintahkan pemeriksaan keselamatan serta pemantauan terus siasatan insiden.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang memaklumkan Jabatan Forensik akan kembali ke lokasi kejadian pada Selasa bagi menjalankan siasatan lanjut serta mengumpul barang bukti berkaitan insiden tersebut.

Menurut beliau, siasatan akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan forensik.

“Hari ini Jabatan Forensik akan ke lokasi kejadian semula untuk buat siasatan lanjut. Keseluruhan pasukan bomba dan Jabatan Forensik akan bergerak ke sana untuk mendapatkan laporan terkini mengenai insiden itu.

“Bagi pihak polis, kita akan buka satu SDR kerana melibatkan satu kematian. Mangsa lain masih dalam proses rawatan dan jumlah mangsa kekal seramai 10 orang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini insiden letupan yang berlaku di HELP University, Bukit Damansara, di sini, pada Isnin.

Selain itu, dalam kejadian tersebut, seorang individu dilaporkan maut manakala sembilan termasuk empat pelajar cedera.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius insiden letupan berkenaan yang melibatkan kematian dan kecederaan di institusi pengajian tinggi itu.

Menurut KPT, pihak universiti diarahkan melaksanakan pemeriksaan keselamatan segera serta memastikan kawasan terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum dibenar digunakan semula.

Tegas KPT, keselamatan pelajar dan warga kampus adalah keutamaan, dan pihaknya akan terus memantau perkembangan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.








Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah klasifikasi yang diberikan oleh polis berkenaan kematian pekerja kontraktor dalam insiden letupan di HELP University?
    A: Polis mengklasifikasikan kematian pekerja kontraktor sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan maklumat daripada Ketua Polis Kuala Lumpur.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Jabatan Forensik berhubung insiden letupan di HELP University?
    A: Jabatan Forensik akan kembali ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut serta mengumpul barang bukti berkaitan insiden tersebut.
  • Q: Berapakah jumlah mangsa yang terlibat dalam insiden letupan di HELP University menurut ketua polis?
    A: Seorang individu dilaporkan maut manakala sembilan termasuk empat pelajar mengalami kecederaan, dengan keseluruhan mangsa kekal seramai 10 orang.



#Astro Awani #Fadil Marsus #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Help university #SDR #Polis Kuala Lumpur