MALAYSIA

Letupan gas Putra Heights: Penduduk dakwa baik pulih rumah perlahan, tidak berkualiti

Shafiqa Azami 02/08/2025 | 11:22 MYT
Baharudin (kiri) bersama penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas akibat letupan paip gas April lalu, selepas sidang media hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
SUBANG JAYA: Lebih empat bulan selepas insiden letupan gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, sebahagian penduduk yang terjejas meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan kerja baik pulih dan proses pembinaan semula rumah mereka.


Ringkasan AI
  • Lebih empat bulan selepas insiden letupan gas pada 1 April lalu, penduduk terjejas meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah. Daripada 137 rumah terjejas, hanya 13 sedang dibina semula walaupun 43 diisytihar musnah sepenuhnya.
  • Penduduk turut mempertikaikan mutu kerja kontraktor yang dilantik SPNB serta jurang pampasan antara kawasan mereka dan Taman Putra Heights. Mereka mendakwa nilai baik pulih tidak mencukupi dan memohon agar jumlah pampasan diselaraskan.
  • Penduduk tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), pembukaan semula siasatan secara bebas serta pendedahan laporan rasmi kepada umum.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), Baharudin Yusof mendakwa, selain itu, penduduk tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang dilantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, daripada 137 jumlah rumah terjejas akibat kejadian itu, hanya 13 rumah sedang dibina semula, melibatkan kes kerugian sepenuhnya dan kerosakan.

Beliau berkata, bilangan rumah yang dibina semula itu tidak wajar kerana secara keseluruhan terdapat 43 rumah yang diisytihar musnah sepenuhnya.

“Kami terpaksa menyewa sana sini, berpindah-randah. Saya sendiri sudah tinggal di sini lebih 42 tahun. Bayangkan perasaan kami,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, penduduk juga mempertikaikan kualiti kerja kontraktor.

"Kualiti kerja tidak memuaskan, penyeliaan lemah. Kalau tuan-tuan ronda kawasan ini, boleh nampak sendiri. Ada struktur seolah-olah macam arca tak siap,” dakwanya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu jurang pampasan, mendakwa mangsa di kawasan Taman Putra Heights menerima peruntukan siling baik pulih sehingga RM60,000, berbanding hanya RM30,000 di Kampung Kuala Sungai Baru.

“Rumah saya dinilai rosak 10 peratus sahaja. Tapi kos baik pulih mencecah RM39,000. Bila saya tuntut, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hanya luluskan RM30,000. Kita mahu minta samakan jumlah tuntutan (dengan Taman Putra Heights),” katanya.

Dalam pada itu, katanya penduduk turut menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan insiden letupan itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) susulan hasil siasatan jenayah yang tidak menemukan sebarang unsur kecuaian atau khianat.

Justeru, Baharudin berkata, penduduk antara lain menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), pembukaan semula siasatan secara bebas dan telus, serta pendedahan semua laporan rasmi kepada rakyat.

Insiden letupan gas yang berlaku pada pukul 8.10 pagi pada 1 April bersamaan Aidilfitri kedua, telah menjejaskan 529 penduduk daripada 118 keluarga dan menyebabkan kerosakan 235 premis termasuk rumah dan kedai, dengan 87 daripadanya musnah sepenuhnya.





#letupan paip gas #Putra Heights #aduan penduduk #pembinaan tak berkualiti