Penduduk di sekitar Kampung Baru Bukit Merah di Menglembu berdepan detik mencemaskan apabila sebuah letupan kimia berlaku di berhampiran kawasan perindustrian Bukit Merah pada pagi Sabtu.

Insiden tersebut berlaku sekitar jam 10 pagi apabila penghuni yang tinggal dan bekerja di kawasan berhampiran, sekitar 500 meter dari lokasi kejadian terdengar satu bunyi dentuman kuat diikuti dengan bau tengik dan busuk di udara.

Bahan kimia berkenaan dipercayai merupakan ferus klorida iaitu ammonia, agen utama dalam pengurusan loji kumbahan.

Kebanyakan penduduk yang menghidu bahan kimia berkenaan mengadu bahawa tekak mereka berasa gatal dan batuk teruk serta rasa panas seperti terbakar pada bahagian kerongkong mereka.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menghantar dua jentera ke lokasi kejadian untuk tujuan pembersihan sekitar pukul 12.15 pagi dan kerja pembersihan masih sedang dijalankan.

Difahamkan, empat pekerja daripada kawasan kilang kimia itu telah mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kes kebocoran ammonia itu pada jam 12.03 dan bergegas ke tempat kejadian.

Ketua Operasi BBP Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hairiri Ahmad Shaibi berkata pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam mengenai insiden terhidu bau bahan kimia di kawasan perindustrian tersebut.

"Pada mulanya, pihak Syarikat Malay-Sino iaitu lokasi kejadian mengesahkan terdapat kebocoran pada paip yang menyalurkan gas ammonia dan keadaan masih terkawal.

"Sejurus selepas itu, syarikat menghubungi semula BBP Pasir Puteh kerana menyatakan terdapat satu lagi kebocoran paip dan ianya sukar dikawal justeru anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian," katanya kepada Astro AWANI.