MALAYSIA

Letupan paip gas Putra Heights: Amirudin beri penjelasan isu jengkaut, dakwaan PBT tidak ikut SOP

Bernama 08/07/2025 | 09:04 MYT
Amirudin berkata, siasatan polis dan dapatan JMG serta JKKP telah mengesahkan kerja-kerja di atas tanah tidak menyebabkan isu kepada saluran gas tersebut. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas bukan disebabkan oleh jengkaut yang melakukan kerja-kerja pengorekan dan seterusnya mengakibatkan kebakaran besar, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.


Ringkasan AI
  • Siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights pada 1 April mengesahkan ia bukan berpunca daripada kerja pengorekan jengkaut, sebaliknya disebabkan keadaan tanah yang lemah di bawah paip gas.
  • Menteri Besar Selangor menjelaskan bahawa syarikat pemaju telah mendapat kebenaran kerja dan mematuhi syarat keselamatan Petronas, serta zon penampan yang ditetapkan melebihi syarat minimum.
  • Pihak berkuasa menafikan dakwaan berhubung kelulusan tidak wajar oleh MBSJ, dan siasatan JKKP mendapati paip gas memenuhi spesifikasi tetapi berada di atas tanah lembut yang tidak menyokong sepenuhnya struktur paip.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata siasatan polis dan dapatan Jabatan Mineral dan Gas (JMG) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengesahkan kerja-kerja di atas tanah tidak menyebabkan isu kepada saluran gas tersebut.

Beliau berkata ini kerana paip saliran monsun yang terletak di atas paip gas tidak terkesan.

"Mengikut semakan saya dengan pihak berkuasa tempatan taman perumahan dan pembinaan paip monsun yang berukuran 4.2 meter dari segi diameter dijalankan sekitar 2008 dan 2009, iaitu sebelum penubuhan Pusat Unit Setempat pada 2010," katanya pada sesi penerangan insiden Putra Heights di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Amirudin turut menjelaskan dakwaan bahawa syarikat pemaju yang membina rumah kedai dan membuat kerja tanpa kebenaran di sekitar kawasan seliaan Petronas Gas Berhad (PGB) itu adalah tidak benar, malah syarikat itu telah menerima kebenaran untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan pada 20 Mac 2025.

PGB juga mengkehendaki pihak pemaju untuk menepati syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan oleh Petronas dalam mesyuarat prakerja sebelum permit kerja dikeluarkan," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan berhubung pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak menepati kriteria apabila meluluskan Kebenaran Merancang melibatkan kawasan seliaan Petronas dan berkompromi terhadap zon penampan.

Beliau berkata zon penampan yang ditetapkan oleh PGB adalah sebanyak 60 kaki sedangkan di kawasan Putra Heights, zon penampan yang ditetapkan ialah sebanyak 66 kaki, melebihi enam kaki daripada syarat yang ditetapkan.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat dilaporkan berkata keadaan tanah di bawah paip yang lemah dan tidak menyokong sepenuhnya struktur paip merupakan punca bagi insiden itu.

Katanya hasil siasatan mendapati paip gas tersebut memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah dan satu keadaan yang menyebabkan paip berada dalam keadaan bahagian tidak disokong (unsupported segment) di atas tanah yang lembut dan lembap.

-- BERNAMA



#letupan paip gas #Putra Heights #jengkaut hilang #Amirudin Shari