NATIONAL
Letupan paip gas Putra Heights: JAS tak kesan IPU abnormal
Letupan paip gas bawah tanah yang menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa - Gambar fail/Bernama
SUBANG JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan stesen pengawasan kualiti udara masih di paras sederhana, namun tidak mengesan sebarang keadaan bacaan indeks pencemar udara (IPU) yang abnormal susulan kebocoran saluran paip gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, di sini pada Selasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata tujuh stesen pengawasan kualiti udara terdekat juga masih tidak mengesan sebarang keadaan yang abnormal, setakat 12 tengah hari tadi.
Tujuh kawasan terbabit adalah Putrajaya dengan bacaan IPU pada 58; Shah Alam (53); Petaling Jaya (46); Klang (56); Cheras (52); Johan Setia (54); serta Batu Muda, Kuala Lumpur (50).
"Pengawasan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas CEREX telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Putra Heights 2, iaitu kawasan yang dikenal pasti penerima sensitif yang terletak lebih kurang dua kilometer (km) dari kawasan kejadian.
"Bacaan pemantauan sehingga jam 12.00 tengah hari hari ini mendapati tiada sebarang gas toksik dikesan dan paras kualiti udara masih normal," katanya dalam kenyataan itu.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Wan Abdul Latiff dalam pada itu memaklumkan IPU yang direkodkan setakat 12 tengah hari ini menunjukkan 46 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, dan 22 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Bagaimanapun, ujar beliau tiada stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.
Selain itu, JAS turut menggerakkan pasukan siasatan dan pengawasan kualiti udara ke lokasi penerima terdekat, dan membuat pemantauan di kawasan-kawasan sekitar.
"Kawasan kediaman terdekat yang terjejas ialah Kampung Kuala Sungai Baru. Pengawasan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas CEREX di lokasi terhampir telah dipasang bagi mencerap status kualiti udara semasa," katanya.
Menurut Wan Abdul Latiff, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari masa ke masa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, letupan paip gas bawah tanah yang menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, telah mencetuskan kebakaran besar sehingga menyebabkan 145 penduduk cedera dengan kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.
Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).