MALAYSIA

Letupan paip gas Putra Heights: Tiada pencerobohan pemaju, kontraktor - MB Selangor

Bernama 09/07/2025 | 11:09 MYT
Amirudin (tengah) berkata kerja-kerja pembangunan atau pengorekan tanah oleh pihak berkenaan dilakukan di luar titik tapak kejadian terbabit. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Tidak berlaku sebarang pencerobohan melibatkan pemaju atau mana-mana kontraktor sehingga menyebabkan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.


Ringkasan AI
  • Tiada pencerobohan berlaku dalam insiden letupan saluran gas di Putra Heights; kerja pembangunan dilakukan dengan kebenaran Petronas dan di luar titik kejadian.
  • Kerajaan Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas dengan penglibatan pakar pelbagai agensi untuk siasatan dan cadangan pencegahan jangka panjang.
  • Laporan siasatan akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang, dan taklimat khas kepada ADUN turut dirancang bagi menjamin ketelusan dan tindakan susulan.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerja-kerja pembangunan atau pengorekan tanah oleh pihak berkenaan dilakukan di luar titik tapak kejadian terbabit.

Beliau berkata sebuah syarikat pemaju yang menjalankan kerja-kerja paip kumbahan di kawasan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) itu telah memohon dan menerima kebenaran daripada Petronas.

"Namun, Petronas meletakkan syarat antaranya melantik syarikat panel yang digariskan oleh mereka.

"Syarikat panel itu melakukan penggalian di kawasan-kawasan Petronas. Hasil daripada cadangan mereka dikelola dan dipantau di bawah tindakan-tindakan Petronas.

"Jadi, tidak ada pencerobohan selepas dibenarkan. Syarikat (subkontrakor) yang dianggap disenarai hitam juga tidak memulakan kerja," katanya ketika sesi penggulungan di bawah Peraturan Tetap 13 (i) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai insiden Letupan Paip Gas di Putra Heights di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata pihaknya telah mengarahkan MBSJ menambah baik pemilihan kontraktor sebelum pelantikan dibuat dengan membuat semakan menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Dalam pada itu, Amirudin memberikan jaminan bahawa hasil laporan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas akan dibawa ke persidangan DUN akan datang.

Amirudin berkata beliau juga terbuka untuk mengadakan sesi taklimat khas berhubung laporan jawatankuasa itu kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum sidang DUN seterusnya bermula.

"Laporan (jawatankuasa teknikal) sudah dibawa ke Dewan dan dibentangkan. Selepas ini, jawatankuasa (Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas) akan siasat.

"Kita akan bawa (teliti) laporan itu, beri masa secukupnya untuk disemak, kemudian dibahaskan. Yang lebih penting ialah langkah susulan supaya peristiwa ini dapat dielakkan pada masa depan," katanya.

Amirudin semalam dilaporkan berkata kerajaan Selangor bersetuju melantik dua pakar yang dinamakan oleh pihak pembangkang bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas untuk menjamin ketelusan laporan membabitkan insiden letupan itu.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan yang akan dianggotai oleh tujuh tenaga pakar bakal melibatkan pelbagai agensi termasuk wakil kerajaan negeri, Persekutuan dan badan berkaitan seperti Petronas bagi meneliti hasil siasatan untuk merangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang.

-- BERNAMA



#Amirudin Shari #Putra Heights #letupan paip gas #Tiada pencerobohan