Letupan Universiti HELP: Tiga mangsa masih dirawat, seorang koma akibat pendarahan otak

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi Isnin lepas, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiga mangsa yang cedera dalam insiden letupan gas penyaman udara di kampus Universiti HELP di Bukit Damansara, di sini Isnin lepas, masih menerima rawatan di hospital manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, berkata mangsa pertama, Liew Ying Chen, 54, melecur dan terdapat serpihan besi dalam badan akibat letupan, kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Mangsa yang bekerja sebagai penyelia itu mengalami kecederaan kebakaran sebanyak 24 peratus dan berada dalam keadaan sedar serta stabil selepas menjalani pembedahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata seorang pelajar Universiti HELP, Reeya Kaur Thandal, 19, yang mengalami pendarahan dalam otak dan retak tengkorak, ditempatkan di High Dependency Ward dan berada dalam keadaan koma dengan pemantauan rapi pihak perubatan..
Selain itu, seorang lagi pelajar, Lya Izryn Irazeqh, 18, yang patah pinggang, dimasukkan ke HKL sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Pantai Kuala Lumpur, Bangsar.
"Mangsa telah selesai menjalani pembedahan gigi semalam dan berada dalam keadaan stabil sebelum dijadualkan menjalani pembedahan pinggang esok pada 2 petang," katanya.
Seorang lagi mangsa, pekerja kantin universiti, Muhammad Rizki Rudi Hartono, 22, yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, dibenarkan pulang semalam selepas warga Indonesia dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi Isnin lepas, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


