KUALA LUMPUR: Impak letusan Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia setakat ini masih belum menjejaskan kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, letusan tersebut, yang berketinggian 725 meter dari paras laut, bagaimanapun telah menjejaskan operasi penerbangan di dua negeri tersebut.

Ketinggian letusan yang dicerap, katanya lagi, adalah sehingga 55,000 kaki, dan awan debu yang terbentuk boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat.

“Pada masa ini Indonesia telah mempertingkatkan amaran letusan gunung berapi kepada Tahap Empat (Awas), dan menjangkakan Gunung Berapi Ruang akan terus aktif, dan boleh meletus dari semasa ke semasa.

“MetMalaysia akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial,” katanya lagi .

Media sebelum ini melaporkan, lebih 800 penduduk di wilayah berkenaan terpaksa dipindahkan, susulan letusan lebih tiga kali dikesan di gunung berapi tersebut.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air telah membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah serta Sarawak hari ini.