Lewat bayar gaji, majikan warga Korea dipukul

Astro Awani
April 16, 2023 06:10 MYT
Video yang memaparkan insiden berkenaan turut tular di media sosial menyaksikan mangsa ditumbuk dan ditampar oleh suspek.
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan telah menahan dua suspek yang dipercayai terlibat memukul seorang pengarah projek pembinaan syarikat swasta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, tangkapan dibuat selepas mangsa warga Korea berusia 53 tahun itu membuat laporan polis pada hari sama.
Beberapa video yang memaparkan insiden berkenaan turut tular di media sosial menyaksikan mangsa ditumbuk dan ditampar oleh suspek.
Difahamkan insiden berlaku ketika sekumpulan pekerja menyuarakan ketidakpuasan hati ke atas kelewatan pembayaran gaji oleh pihak syarikat.
Akibat dipukul, mangsa mengalami lebam serta bengkak di beberapa bahagian badan dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Queen Elizabeth.
Dua lagi suspek yang terlibat masih sedang dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
#pukul #majikan #pengarah projek pembinaan #Mohd Zaidi Abdullah