Ringkasan AI
- PAC Parlimen memulakan siasatan terhadap pengurusan, kewangan dan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara.
- Hanya 11.4 peratus projek siap walaupun 94.6 peratus peruntukan telah dibelanjakan, dengan kelewatan, kos meningkat dan pelbagai isu tatakelola dikenal pasti.
- PAC akan memanggil saksi berkaitan dan tidak teragak-agak merujuk kes kepada SPRM atau PDRM jika terdapat indikasi salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan siasatan berhubung pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1, susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026.
Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bagi tempoh 2016 hingga 31 Mac 2026, sebanyak RM10.547 bilion iaitu 94.6 peratus daripada peruntukan berjumlah RM11.153 bilion telah dibelanjakan, walaupun kemajuan fizikal projek itu jauh ketinggalan.
Beliau mendedahkan projek sepanjang 706 kilometer melibatkan 35 pakej kerja itu, dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2021, namun didapati hanya empat pakej kerja iaitu sebanyak 11.4 peratus telah disiapkan.
“...manakala baki 31 pakej kerja bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan, walaupun projek tersebut sepatutnya telah siap lima tahun lepas.
“Daripada jumlah itu, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit dan 13 pakej kerja mengalami kelewatan daripada jadual yang ditetapkan. Hanya sembilan pakej kerja mendahului jadual,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Mas Ermieyati berkata akibat kelemahan perancangan, tarikh siap projek telah dilanjutkan sehingga 2030, manakala kos kontrak keseluruhan meningkat daripada RM17.910 bilion kepada RM18.394 bilion.
Beliau berkata LKAN 2/2026, turut mendedahkan sebanyak 57 Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM513.99 juta telah diluluskan melebihi had kuasa tanpa kelulusan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), mahupun Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Selain itu, unjuran kos semasa bagi 15 pakej kerja Fasa 1A melonjak sebanyak RM0.987 bilion kepada RM11.323 bilion, berbanding kos siling asal RM10.336 bilion, manakala pembayaran interim sebanyak RM163.64 juta dibuat kepada kontraktor dan perunding tanpa ikatan kontrak rasmi.
“Dana pendahuluan kerajaan bagi kerja utiliti berjumlah RM41.37 juta masih belum dituntut semula daripada syarikat utiliti melepasi had masa enam bulan selepas Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan,” katanya.
Laporan audit itu turut mendedahkan 19 pakej kerja dimulakan sebelum Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan, selain kehilangan 77,299 fail data pemantauan akibat penggunaan Sistem Maklumat Projek yang tidak berkesan.
Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkata PAC mengambil maklum kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya dan Utilti Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang menyatakan pakej-pakej LPB Sabah Fasa 1 sedang giat dibina.
“...pakej LPB Sabah Fasa 1 yang belum siap kini sedang giat dibina dengan sebahagian jajaran mencatatkan kemajuan fizikal antara 90 hingga 93 peratus, dengan lapan pakej sepanjang 179 kilometer dicadangkan untuk dibuka secara berperingkat sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata siasatan itu turut dimulakan susulan permohonan rasmi daripada Ahli Parlimen Kota Belud serta dibangkitkan Ahli Parlimen Sipitang, Beaufort, dan Balik Pulau semasa perbahasan LKAN 2/2026 di Dewan Rakyat pada 7 Okt.
Mas Ermieyati berkata PAC akan memanggil saksi-saksi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk JKR Sabah serta agensi berkaitan, untuk prosiding siasatan.
“Sekiranya prosiding PAC menemukan sebarang indikasi salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa, PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah tujuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1?
A: Siasatan PAC bertujuan meneliti pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal Projek LPB Sabah Fasa 1 susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026. - Q: Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan dan kemajuan fizikal projek LPB Sabah Fasa 1 setakat ini?
A: Sebanyak RM10.547 bilion atau 94.6 peratus daripada peruntukan RM11.153 bilion telah dibelanjakan, namun hanya empat daripada 35 pakej kerja (11.4 peratus) telah disiapkan. - Q: Apakah masalah utama yang dikenal pasti dalam pelaksanaan projek LPB Sabah Fasa 1?
A: Masalah utama termasuk kelewatan pelaksanaan, sembilan pakej kerja dikategorikan sebagai projek sakit, 13 pakej mengalami kelewatan, kos kontrak meningkat, serta pelaksanaan pakej sebelum kelulusan EIA dan kehilangan data pemantauan. - Q: Apakah tindakan yang akan diambil jika terdapat indikasi salah laku dalam projek ini?
A: Jika prosiding PAC menemukan indikasi salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa, PAC akan merujuk dapatan tersebut kepada SPRM dan PDRM untuk siasatan lanjut. - Q: Apakah perkembangan terkini mengenai pakej kerja LPB Sabah Fasa 1 yang belum siap?
A: Pakej-pakej yang belum siap sedang giat dibina, dengan sebahagian jajaran mencatat kemajuan fizikal antara 90 hingga 93 peratus, dan lapan pakej sepanjang 179 kilometer dicadangkan untuk dibuka secara berperingkat sebelum hujung tahun ini.