[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

LHDN lancar OP METRO 3.0 untuk perkukuh pematuhan cukai di Lembah Klang

Bernama 16/06/2025 | 12:30 MYT
LHDN optimis kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuh bagi memastikan dasar percukaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini melancarkan Operasi Pematuhan Cukai siri kelapan, dikenali sebagai OP METRO 3.0, bagi memperkukuh budaya pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai menerusi pendekatan yang lebih strategik dan berfokus.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata operasi yang berlangsung dari 16 hingga 20 Jun itu dilaksanakan serentak di sekitar Lembah Klang dengan penglibatan pelbagai jabatan di bawah LHDN, termasuk Sektor Pematuhan Cukai, Sektor Siasatan, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Perisikan dan Profiling, Jabatan Digital serta Cawangan Pematuhan Strategik.
"OP METRO 3.0 merupakan kesinambungan kepada OP METRO 2.0 yang dilaksanakan pada Februari lalu. Kali ini, seramai 590 pegawai terlibat dengan 682 kes telah dikenal pasti untuk tindakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi itu turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai usaha bersama memantau tahap pematuhan korporat, menandakan penglibatan kedua SSM selepas OP Rejang yang dijalankan di Sarawak pada April lepas.
Sektor sasaran bagi OP METRO 3.0 merangkumi industri pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perundingan dan pemborongan. Pelaksanaan operasi ini tertumpu kepada empat aktiviti utama iaitu audit, kutipan hasil, verifikasi pembayar cukai dan pematuhan strategik.
"Fokus kami jelas, iaitu ketegasan terhadap mereka yang sengaja melanggar undang-undang, toleransi dan panduan kepada mereka yang tersalah tanpa niat, serta penghargaan kepada pembayar cukai yang sentiasa patuh," katanya.
Abu Tariq turut menegaskan bahawa misi utama LHDN adalah menjadikan pematuhan cukai sebagai satu budaya, bukan beban, dan mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Majlis pelancaran turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM Amir Ahmad, serta pengurusan kanan kedua-dua agensi.
LHDN optimis kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuh bagi memastikan dasar percukaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
"Dengan penyatuan kepakaran dan sumber, kita yakin pelaksanaan dasar percukaian akan menjadi lebih efisien, meluas dan berstruktur," katanya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 (dalam negara) / +603-8911 1000 (luar negara), melalui HASiL Live Chat atau borang maklum balas di portal rasmi HASiL di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.
-- BERNAMA
#LHDN #OP METRO #undang-undang #pematuhan strategik