Skip to main content

Malaysia

LHDN terima lebih 2.09 bilion e-Invois, perkukuh pematuhan cukai menerusi data analitik

Mohd Syazli berkata LHDN sering mengesan kesilapan peniaga yang hanya menyerahkan e-Invois bagi aktiviti stok komersial, tetapi mengabaikan transaksi sampingan seperti pelupusan aset perniagaan dan pendapatan sewa. - Gambar fail/LHDN
Mohd Syazli berkata LHDN sering mengesan kesilapan peniaga yang hanya menyerahkan e-Invois bagi aktiviti stok komersial, tetapi mengabaikan transaksi sampingan seperti pelupusan aset perniagaan dan pendapatan sewa. - Gambar fail/LHDN

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan penerimaan lebih 2.09 bilion e-Invois, sejak inisiatif transformasi digital itu mula diperkenalkan secara berperingkat di negara ini.

Pencapaian memberangsangkan itu mencerminkan momentum positif dalam kalangan komuniti perniagaan tempatan, bagi mengadaptasi kaedah pelaporan transaksi yang lebih sistematik dan telus.

Pengarah Seksyen Polisi & Pematuhan, Bahagian E-Invois Sektor Operasi Cukai LHDN Mohd Syazli Mokthar berkata fasa pelaksanaan yang kini menjangkau tahun ketiga itu, turut melibatkan penyertaan aktif daripada lebih 269,000 pembayar cukai.

“Data komprehensif yang dikumpul menerusi platform e-Invois ini amat penting, dalam membantu pihak pentadbiran memahami struktur ekonomi serta aliran transaksi semasa pasaran dengan lebih tepat.

“Pelaksanaan agenda nasional ini terbukti bukan sekadar peralihan mekanikal daripada dokumen kertas kepada fail digital, malah ia memacu kecekapan operasi harian perniagaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio bertajuk “E-invois: Transformasi Digital Ke Arah Pematuhan Cukai Yang Lebih Berkesan”, di sini hari ini.

Mohd Syazli memaklumkan bahawa fungsi data analitik pintar turut disepadukan dalam sistem e-Invois bagi menapis, memproses dan menganalisis profil kewangan pembayar cukai secara automatik, sebaik sahaja invois digital dihantar.

“Penggunaan modul analitik bersepadu ini merangkumi fungsi deskriptif, diagnostik, prediktif serta preskriptif untuk meramal trend tanpa bermaksud pembayar cukai bersalah, kerana perbezaan corak data mungkin berpunca daripada pelarasan akaun atau garis masa pelaporan,” katanya.

Menyentuh mengenai isu ketidakpatuhan, Mohd Syazli berkata LHDN sering mengesan kesilapan peniaga yang hanya menyerahkan e-Invois bagi aktiviti stok komersial, tetapi mengabaikan transaksi sampingan seperti pelupusan aset perniagaan dan pendapatan sewa.

Selain itu, beliau berkata kekeliruan pengeluaran e-Invois bil kendiri turut dikesan terhadap pembekal yang belum diwajibkan menyertai ekosistem itu, sedangkan kemudahan itu hanya terhad kepada transaksi khusus yang ditetapkan dalam garis panduan.

“Bagi membantu golongan peniaga membetulkan kesilapan pengiraan atau pengkeranian tersebut, LHDN kini menawarkan pelepasan penalti sepenuhnya menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois, yang dijadualkan berlangsung sehingga 31 Dis 2027,” jelasnya.

Beliau berkata langkah mesra pematuhan itu memberi ruang seluas-luasnya kepada pemilik syarikat untuk memperbetul rekod lama tanpa rasa bimbang, dengan syarat ia dilakukan secara telus tanpa unsur manipulasi yang disengajakan.

Dalam pada itu, Mohd Syazli menyatakan komitmen LHDN untuk terus menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penguatkuasaan ambang pengecualian e-Invois, yang telah ditingkatkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

“Golongan peniaga bawah nilai ambang ini layak mendapat pengecualian dan LHDN amat menggalakkan mereka untuk melaksanakan e-Invois secara sukarela, demi mempercepat proses digitalisasi perniagaan masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement